Imbuhan Kata Kerja

Imbuhan kata kerja

Dalam penulisan formal bahasa Melayu, kata kerja hampir sentiasa dibubuh imbuhan, baik awalan, akhiran, apitan mahupun sisipan.

Awalan

me(n)-

Imbuhan awalan "me(n)-" menunjukkan perkataan tersebut ialah sejenis kata kerja yang membawa erti-erti berikut kepada kata dasar dalam sesebuah ayat aktif (subjek ayat menjadi pelaku), tidak kira transitif atau tak transitif:
  • melakukan perbuatan
    Siapakah yang mengetuk pintu?

  • membuat objek
    Saya membakar roti.

  • menjadi
    Tengok, dia sudah meradang.

  • mengeluarkan bunyi
    Harimau mengaum sekuat-kuatnya.

  • menghala ke arah
    Kereta menuju ke arah sana.

Awalan "me(n)-" berubah bentuk mengikut fonem pertama dalam kata dasar:


Bentuk imbuhan Fonem pertama
kata dasar
Gugurkan? Contoh Huraian
mem- /b/ Tidak balut → membalut
/p/ Ya panah → memanah Kecuali kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: memproses
men- /c/
/d/
/j/
/sy/
/z/
Tidak cari → mencari
dapat → mendapat
jadi → menjadi
syampu → mensyampu
ziarah → menziarahi

/t/ Ya tari → menari Kecuali kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: mentadbir
meng- (vokal) Tidak arah → mengarah
/g/ Tidak galas → menggalas
/k/ Ya kerah → mengerah Kecuali kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: mengkaji
meny- /s/ Ya sara → menyara Kecuali sesetengah kata pinjaman dan sebilangan kecil kata jati
Cth: menskru
me- /l/
/m/
/n/
/ng/
/ny/
/r/
/w/
/y/
Tidak lambung → melambung
makan → memakan
nangis → menangis
nganga → menganga
nyanyi → menyanyi
rasa → merasa
wangi → mewangi
yakin → meyakinkan

menge- - Tidak cat → mengecat Untuk kata dasar satu suku kata sahaja.

di-

Imbuhan awalan "di-" merupakan pengganti imbuhan "me(n)-" dalam ayat pasif (subjek ayat menanggung perbuatan). Bezanya, fonem pertama kata dasarnya tidak perlu diubah. Contoh:
  • Kuda menarik pedati. → Pedati ditarik oleh kuda.
  • Dia membawa dompet. → Dompet ini dibawanya.

ber-

Imbuhan awalan "ber-" menunjukkan perkataan tersebut ialah sejenis kata kerja yang membawa erti-erti berikut kepada kata dasar dalam sesebuah ayat aktif (subjek ayat menjadi pelaku), tidak kira transitif atau tak transitif:
  • memiliki
    Tauke berkereta mewah.

  • menghasilkan
    Pokok sudah berbuah.

  • menaiki
    Kami berbasikal ke sana.

  • mengikuti atau menghadiri
    Mereka berbincang dengan guru.

  • menganggap sebagai
    Saya berkawan dengannya.

  • dilakukan kepada diri
    Kita harus bertahan.

  • perbuatan saling berbalasan
    Mereka tengah berborak.

ter-

Imbuhan awalan "ter-" membawa erti-erti berikut:
  • tersedia ada
    Lamanya dia tertunggu di situ.

  • tidak sengaja
    Kereta terlanggar kancil.

  • menggambarkan keadaan
    Dia terkenang ibunya sewaktu di perantauan.

per- dan memper-

Imbuhan awalan "per-" dan "memper-" hanya digunakan dalam kata kerja transitif. Imbuhan "per-" selalunya digunakan dalam ayat suruhan, sementara ayat biasa pula melengkapkannya menjadi "memper-". Kegunaannya adalah seperti berikut:
  • menjadikan lebih/bertambah
    Mereka sedang memperluas padang.

  • menjadikan makna perbuatan kata dasar sebagai kiasan
    Rakyat dilarang memperhamba kanak-kanak sebagai buruh kasar.

  • mendapat sesuatu
    Saya memperoleh 100 markah dalam ujian.

diper-

Begitu juga dengan awalan "me(n)", awalan "memper-" dalam ayat pasif ditukar menjadi "diper-".
  • Ahmad memperbesar padang. → Padang diperbesar oleh Ahmad.
  • Dia memperoleh 100 markah. → 100 markah diperolehnya.

Akhiran

Imbuhan akhiran "-kan" dan "-i" dengan sendirinya digunakan dalam ayat pasif yang objeknya diri pertama atau kedua, atau ayat suruhan (imperatif).

-kan

  • membuat untuk orang lain (benefaktif)
    Buku ini saya bacakan untuk adik.

  • suruhan (imperatif)
    Tolong masukkan barang itu ke dalam kotak.

-i

  • tempat (lokatif)
    Jalan itu baru saya lalui.

  • menjadikan
    Pepatah itu harus kita hayati.

Apitan

Imbuhan apitan merupakan penggunaan awalan dan akhiran pada satu kata dasar untuk membentuk kata kerja.

me(n)-…-kan

  • menjadikan objek memperoleh sifat kata dasar
    Ibu menyalakan lampu.

  • membantu orang lain (benefaktif)
    Dia memdermakan bekalan makanan kepada golongan miskin.

  • mengenai
    Saksi menceritakan kemalangan itu kepada akhbar.

me(n)-…-i

  • menjadikan objek memperoleh sifat kata dasar
    Nyalaan lampu menerangi bilik. (serupa dengan apitan "me(n)-…-kan")

  • memberi kata dasar kepada objek
    Cikgu menasihati murid-murid agar berhati-hati di jalan raya.

  • ke tempat (lokatif)
    Saya menaiki kapal ke seberang lautan.

ke-…-an

  • mengalami sesuatu: Kereta baru kehabisan minyak.

memper-…-kan

Apitan "memper-…-kan" membawa makna kausatif yang hanya digunakan untuk kata kerja transitif, namun dikaitkan dengan imbuhan "ber-".
  • menyebabkan jadi
    Ghani mempertemukan isterinya dengan ibu bapanya di kampung. (bandingkan "bertemu")

  • menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam makna kata dasar
    Stesen radio kegemaranku memperdengarkan suara juruhebah baru.

memper-…-i

Begitu juga dengan apitan "memper-…-kan", apitan "memper-…-i" membawa makna kausatif yang hanya digunakan untuk kata kerja transitif.
  • menjadikan objek beroleh sesuatu:
    Kementerian pertahanan mempersenjatai tentera dengan kereta kebal baru.

  • menjadikan objek memperoleh sifat kata dasar:
    Ayah memperkebuni tanah di keliling rumah.

  • menjadikan objek memperoleh sifat semula
    Jurutera sedang memperbaiki jentera.

Sisipan

Terdapat sebilangan kata dasar yang diberi sisipan seperti "-el-", "-em-", dan "-er-" untuk memberi makna kata kerja. Contoh: guruh → gemuruh.